Coklat Minda Dot Com nuffnang_bid = "3e875679e8b41d79beebca5e28c165d1";

Sejarah penubuhan


Asrama Anak-Anak Yatim Darussalam bermula dengan penubuhan Maahad Darussalam yang diasaskan pada tahun 2001 sebagai sekolah agama rakyat(persendirian) di atas sebidang tanah yang diwakafkan iaitu seluas 1 ekar 17 pol. Tanah ini diwakafkan bersama dengan sebuah bangunan kayu dua tingkat dengan keluasan 120 kaki panjang dan 20 kaki lebar yang kemudiannya telah diubahsuai menjadi bilik-bilik darjah, bilik guru, pejabat, asrama dan bilik penginapan pengetua.



Pada peringkat awalnya, maahad ini mempunyai 31 orang pelajar peringkat rendah dan 11 orang pelajar peringkat menengah, yang sebahagian besarnya adalah anak-anak di sekitar Ipoh. Tenaga pengajar pula ialah seramai 6 orang untuk peringkat rendah /menengah sesi pagi, dan 2 orang guru sukarela yang datang mengajar sebelah petang khas untuk peringkat menengah. Pada tahun 2004, maahad ini terpaksa menghentikan peringkat menengah kerana faktor kewangan dan mengekalkan peringkat rendah hingga kini.

Pada penghujung 2007, hasil ziarah ke sebuah asrama anak-anak yatim di Sungai Siput dan beberapa siri perbincangan berkaitan masalah pembelajaran sebahagian anak-anak yatim di asrama tersebut, satu persetujuan telah dicapai di mana seramai 11 orang anak-anak yatim telah dihantar belajar di maahad ini pada bulan Februari 2008.

Dengan perkembangan ini, dan dengan jumlah anak-anak yatim yang meningkat menjadi 25 orang setakat ini, maahad ini kini ke arah menjadi Sekolah Berasrama Penuh Anak-Anak Yatim. Oleh kerana ruang asrama yang terhad, pihak pentadbiran memutuskan untuk menghadkan pengambilan 40 orang anak-anak yatim sahaja dalam satu masa, sehingga prasarana yang kondusif dapat disediakan.