Maahad Dar’us-Salam dan Asrama Anak-Anak Yatim Dar'us-Salam
Asrama Anak-Anak Yatim Dar’us-Salam bermula dengan penubuhan Maahad Dar’us-Salam Tambun telah di asaskan pada tahun 2001 sebagai sekolah agama rakyat (persendirian) di atas sebidang tanah yang diwakafkan seluas 1 ekar 17 pol. Tanah ini diwakafkan bersama-sama dengan sebuah bangunan kayu iaitu bekas kilang batik dua tingkat dengan keluasan 120 kaki panjang dan 20 kaki lebar, yang di ubahsuai menjadi bilik-bilik darjah, bilik guru, pejabat, asrama dan bilik penginapan pengetua. Pada peringkat awalnya maahad ini mempunyai 31 orang murid peringkat rendah dan 11 orang pelajar peringkat menengah, yang sebahagian besarnya adalah anak-anak sekitar Ipoh. Sementara tenaga pengajar seramai 6 orang untuk peringkat rendah /menengah sesi pagi, dan 2 orang guru sukarela yang datang mengajar sebelah petang khas untuk peringkat menengah. Pada 2004, maahad ini terpaksa menghentikan peringkat menengah kerana faktor kewangan dan mengekalkan peringkat rendah hingga kini. Pada penghujung 2007, hasil ziarah ke sebuah asrama anak-anak yatim di Sungai Siput dan beberapa siri perbincangan berkaitan masalah pembelajaran sebahagian anak-anak yatim di asrama tersebut, satu persetujuan dicapai dimana seramai 11 orang anak-anak yatim telah dihantar belajar di maahad ini pada bulan Februari 2008. Dengan perkembangan ini, dan dengan jumlah anak-anak yatim yang meningkat menjadi 25 orang setakat ini, maahad ini kini ke arah menjadi Sekolah Berasrama Penuh Anak-Anak Yatim. Oleh kerana ruang asrama yang terhad, pihak pentadbiran memutuskan untuk menghadkan pengambilan 40 orang anak-anak yatim sahaja dalam satu masa, sehingga prasarana yang kondusif dapat disediakan. Buat masa ini anak-anak yatim yang berjumlah 25 orang ini merangkumi 10 orang lelaki dan 15 orang perempuan di mana 12 orang daripada mereka adalah berasal dari Perak Darul Ridzuan sementara 13 orang lagi berasal dari Kedah. Sistem pendidikan dan makan minum warga anak yatim di asrama ini adalah percuma dan mereka dilayan seperti penghuni sekolah berasrama penuh. Mereka disediakan 5 kali sajian setiap hari iaitu sarapan pagi, jamuan rehat, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Oleh kerana latar belakang yang terbiar dan tercicir, sebahagian dari anak-anak yatim ini tidak dapat menulis dan membaca di awal kedatangan mereka di samping hilang minat belajar. Mereka juga tidak tahu membaca Al-Quran dan hal yang berkaitan dengan solat. Alhamdulillah dengar berkat kesabaran guru-guru, mereka sekarang sudah berminat semula belajar sama ada rumi atau jawi dan seramai lima orang sudah mampu membaca Al-Quran. Pihak pentadbiran sedang memantau perkembangan mereka dari segi minat dan kecenderungan di mana murid yang tidak dapat menguasai akademik akan disalurkan ke bidang kemahiran dalam mengikut minat masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai kecenderungan agama akan diwujudkan kelas tahfiz Al-Quran. Diharapkan dengan cara ini masa depan mereka cerah dan mampu berdikari. Perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan keseluruhan melibatkan kira-kira sejumlah RM6000.00 sebulan. Ini semua tidak termasuk kos pembangunan dan perbelanjaan luar jangka. Sumber kewangan utama adalah dari bayaran yuran murid-murid luar (yang berulang), sumbangan pengasas serta sumbangan orang ramai. Sumbangan secara berkala dengan jumlah yang tidak tetap sejak penubuhan maahad hingga kini di usahakan oleh sekumpulan anggota PGA Ulu Kinta yang banyak menyumbang dalam bentuk tenaga dan wang. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri telah memutuskan penjadi penyumbang tetap RM500.00 setiap bulan. Selain LHDN sumbangan derma sempena Ramadhan juga datang dari POS Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan, BPR, dan beberapa pertubuhan, kelab, persatuan kebajikan seperti Hospital Pantai Puteri, Dewan Ulama’ Pas, Penduduk Islam Sunway, Lost World of Tambun, Kelab Sukan, Puspanita LHDN, UTP, UPSI, PUO, Carsem, UITM, PEKIDA dan Persatuan Wanita dan lain-lain.(Isnin, 2009 Jun 01)
No comments:
Post a Comment