Tuesday, April 26, 2011

26/4/11 Selasa

Apa nak diceritakan? Kepala masih terasa berat, badan pun masih rasa sejuk seram jer..tak berani nak mandi..takut menggigil dan demam berulang...dah telan 2 biji panadol sebentar tadi...Izzah pun masih batuk dan suara berubah.....cuma ummi yang agak lasak , batuk pun dah berkurangan.

Tamu hari ini, agak luar biasa tapi yang menariknya ialah keghairahan mereka untuk menyumbang kepada  anak-anak yatim, walhal mereka suami isteri adalah keturunan Tiong Hua (non muslim). Sebenarnya pengusaha air soya dan tau fu fah ini telah datang buat kali yang kedua. Kali pertama mereka datang menyumbang beras sebanyak 50 kg, kemudian mempelawa produk yang diusahakan oleh mereka. Dan mereka menegaskan bahawa air soya dan tau fu fah yang dihasilkan mereka itu berkualiti tinggi  iaitu produk mereka non- GMO. Dan masa itu kita tidaklah ghairah sangat untuk menerima pelawaan tersebut. Dan kita beranggapan sikap tidak respons akan membuatkan mereka faham apa yang kita maksudkan. Tiba- tiba, hari ini mereka berdua datang dengan lori pickup penjaja  lengkap beruniform  untuk memberikan air soya dan tau fu fah untuk minuman anak-anak ini. Yang menarik lagi mereka memohon anak-anak ini berdoa supaya perniagaan mereka lebih maju dan berkembang . Dari aspek kebersihan zahir memang nampak mereka peka dengan kebersihan dari segi kesucian walLahua'lam- dan dua tiga kali menekankan bahawa jangan bimbang tentang tahap kebersihan mereka. Di samping, menunjukkan beberapa keping gambar pemprosesan soya dan tau fu fah di kilang mereka. 

Asrama ini adalah yang ketiga mendapat sumbangan dari mereka. Kita mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka menyumbang kepada asrama ini. Namun selepas mereka pulang anak-anak yatim ini berpecah kepada dua, satu berani makan satu lagi tidak. Tetapi, selepas solat Asar, semuanya di lihat minum dan menikmati tau fu fah itu, selebihnya di hantar kepada mat-mat bangla di kilang berhampiran. Tetapi mereka ini pun tak pernah makan kerana tak pernah jumpa tau fu fah mujur ada  seorang pekerja Melayu di kilang tersebut yang bila melihat tau fu fah dan air soya, dia terus meneguk air soya ini dan menyatakan  dia memang cukup minat dengan air soya dan tau fu fah. Mat bangla pun pakat berebut air soya dan terpesona dengan kelazatannya. Yang tukang hantar adalah Udin bangla....

Pada petangnya jam 5.15 pm datang sebuah kereta merah memasuki perkarangan asrama ini, membawa beberapa bunjut beg yang mengandungi pakaian terpakai yang telah dikelaskan dan dilipat dengan rapi, inilah yang kita tabik kepada penyumbang ini yang membasuh pakaian yang ingin disumbangkan kemudian dikelaskan mengikut saiz dan kesesuaian dengan anak-anak di sini...disamping baju ada dua tin besar berisi biskut....

Si Hisyam hari ini berada dalam keadaan monyok, setelah beberapa perangai mengada-ngada untuk menarik perhatian memakan dirinya sendiri. Dan kesalahan yang paling besar yang menyebabkan dia sendiri takut ialah dia telah meloncat ke atas meja marble sehingga tiang topangnya pecah berderai dan dia sendiri telah jatuh bersama. Kesalahan ini juga telah membuatkan dia monyok ditambah satu lagi kesalahan besarnya iaitu menendang kawan-kawan yang sedang solat. Bila ummi gempar dia  "nanti nak suruh ustaz rotan Hisyam" mukanya terus pucat dan tidak gelejat lagi. Dan sememangnya dia tahu walid  telah membeli rotan untuk merotan sesiapa yang nakal. Dia memang cukup takut dengan seberkas rotan yang diperlihatkan kepadanya, jadi hari ini selepas ummi bagi amaran kepadanya nak rotan kerana beberapa kesalahan, dia macam putus kepala jadinya dan hilang mengada-ngadanya. Begitulah pentingnya rotan untuk dipamerkan sebagai alat menggertak budak-budak.


No comments:

Post a Comment