Thursday, November 25, 2010

Khamis 25/11/2010 Puasa Sunat

Assalamualaikum..

Tepat jam 4.30 pagi tadi siren dibunyikan untuk menggerak anak-anak yatim bangun bersahur. Semuanya bangun termasuk anak yatim baru "Wan".  Hari ini mungkin menjadi pengalaman baru buatnya berpuasa sunat di asrama ini. Bagi anak-anak lain di sini mereka telah terbiasa dengan amalan ini hinggakan tanpa sahur pun ada yang akan terus berpuasa. Alah bisa tegal biasa! Semasa rebung beginilah amalan baik perlu diterapkan dalam hidup mereka sehingga menjadi resam dan mereka membesar dengan kebiasaan ini. Kita tidak menggunakan paksaan dan kekerasan sebaliknya sebagai cadangan dan galakan diperingkat awal dulu. Sehingga apabila amalan ini membudaya dan menjadi pegangan ramai yang lain akan mengikut dan menurut. Kerana itu Imam Al-Busiry berkata: " Nafsu manusia laksana bayi andai dibiarkan /diabaikan ia akan membesar dengan tabiat suka menyusu akan tetapi jika anda bertegas menghentikan tabiat itu pasti ia akan berhenti!"  Ertinya kita harus memprogramkan anak-anak ini supaya dibesarkan dengan tabiat yang baik dan mulia..in sya Allah perubahan akan berlaku.
Ada beberapa orang yang dalam diam-diam mengikuti, memerhati dan merebut kesempatan ini. Antaranya seorang dato' dekat sini yang akan menyediakan juadah berbuka pada hari Isnin atau Khamis begitu juga seorang tawkey kedai runcit yang akan menempah makanan dan menghantarkannya kesini dihari anak-anak ini berpuasa. Kadang-kadang berlaku pertindihan kerana mereka tidak bertanya kami terlebih dahulu. Begitulah halnya manusia dengan pelbagai gelagat dan perangai untuk merebut peluang beramal. Bukankah menyediakan juadah untuk orang berpuasa berbuka amalan yang digalakkan oleh hadis Nabi? Apatah lagi mereka ini anak-anak yatim yang perlu disantuni. Semoga sokongan yang diberikan ini akan menjadi amalan mulia  yang akan terus diganjari Allah .

No comments:

Post a Comment